Friday, 8 July 2011

Si Hitam dan Si Putih



Tersebutlah kisah di zaman dulu. Di sebuah kampung, ada dua orang sahabat rapat. Nama dua sahabat ini ialah Hitam dan Putih. Teramatlah baik mereka ini sehinggakan orang ramai mengatakan mereka ini adik beradik.

Nak di jadikan cerita, satu hari berlakulah sengketa besar antara mereka. Besar sungguh sengketa mereka hingga mulai dari hari itu mereka tidak lagi bertegur sapa. Bukan itu sahaja, disebabkan teramat marahnya Hitam terhadap Putih, habis semua cerita buruk Putih yang sebelum ini disimpan oleh Hitam diceritakan kepada orang lain. Biasalah manusia, nak menyedapkan cerita-cerita ini, Hitam mula menokok tambah sana sini rahsia Putih.
Putih amatlah sedih dan marah apabila mendengar cerita-cerita yang dihebahkan oleh Hitam itu. Disebabkan itu, Putih jatuh sakit. Makin lama semakin teruk penyakit Putih hinggakan orang-orang kampung merasakan hidup Putih sudah tidak lama lagi. Maka orang-orang kampung bersungguh-sungguh memujuk Hitam agar berdamai dan memohon maaf dengan Putih. Mula-mula disebabkan ego, Hitam berkeras tidak mahu memohon maaf. Tapi orang-orang kampung itu tidak berputus asa. Maka teruslah mereka memujuk Hitam hingga lembut hati Hitam.

Maka pergilah Hitam menziarahi Putih. Hitam memohon maaf dari Putih. Namun Putih hanya berdiam diri sambil memandang sayu terhadap Hitam. Setelah berkali-kali Hitam cuba memohon maaf, Putih menyatakan beliau boleh memaafkan Hitam dengan syarat Hitam membelikan untuk beliau seguni kekabu. (bahan yang digunakan untuk mengisi bantal). Bergegaslah Hitam pergi mencari seguni kekabu. Puaslah Hitam mencari kekabu tersebut di pasar. Nasib menyebelahi Hitam apabila Hitam berjaya membeli kekabu tersebut dari seorang wanita tua.
Hitam lalu bergegas semula ke rumah Putih dan menyerahkan kekabu tersebut kepada Putih. Sekali lagi Hitam meminta Putih memaafkan beliau. Kali ini, sebelum beliau memaafkan Hitam, beliau meminta Hitam menaiki satu tempat yang paling tinggi di kampung mereka itu dan kemudian menebarkan segala kekabu dalam guni itu agar kekabu itu berterbangan dan memenuhi segenap pelusuk kawasan di situ.
.
Hitam tidak banyak soal. Dia lantas memikul guni kekabu itu dan mencari tempat paling tinggi di kampung mereka itu. Cari punya cari, sudahnya Hitam ternampak sebuah bukit dan tiadalah tempat yang lebih tinggi dari puncak bukit tersebut. Dengan susah payah, Hitam mendaki bukit tersebut sambil memikul guni kekabu itu. Sampai di puncak, Hitam termenung sejenak memerhatikan keindahan alam. Setelah puas, Hitam mula menebarkan segala kekabu dalam guni tersebut hingga tiada langsung kekabu dalam guni itu. Hitam memerhatikan kekabu itu terbang ditiup angin hinggakan ada kekabu yang terbang itu hilang dari pandangan beliau. Dilipat guni yang kosong itu dan hasrat Hitam mahu membuktikan apa yang dipinta Putih telah ditunaikan beliau.
Dengan hati yang girang, Hitam berjalan menuju ke rumah Putih. Sangkanya kali ini, Putih pasti akan memaafkan beliau. Sampai sahaja di rumah Putih, ditunjuk guni yang kosong itu kepada Putih. Hitam dengan penuh harapan memohon maaf kepada Putih. Putih memandang tepat smbil berkata dengan perlahan-lahan. "Hitam, jika kamu benar-benar ingin aku memaafkan kamu, aku ada permintaan terakhir. Aku pasti memaafkan kamu jika kamu laksanakan permintaan aku ini. Aku mahu kamu kutip segala kekabu yang telah kamu tebarkan dari puncak bukit itu tadi!" Terduduk Hitam mendengar permintaan Putih itu.
.
Apa pelajaran dari cerita ini?
Fitnah itu amat menyakitkan. Belum tentu sakitya boleh sembuh walaupun banyak tenaga, masa dan wang digunakan untuk menyembuh penyakit terkena fitnah ini.

1 comment: